Poligami mungkin satu perkataan yang membawa pelbagai pengertian berbeza untuk setiap orang. Walaupun dibenarkan dalam syarak, tapi tak semua perkahwinan poligami dijalani dengan rasa yang sama.

Tidak semua kehidupan bermadu itu manis, ada juga yang menanggung derita dan memendam rasa (jika perkahwinan berlandaskan ketidakadilan oleh sang suami).

Jangan kata perlu membahagi-bahagikan kehidupan seharian dengan insan ketiga (atau keempat dan kelima), bayangkan sekiranya perkongsian ini membawa akibat lebih buruk lagi, iaitu risiko kanser pangkal rahim atau kanser serviks.

Kerap kali apabila bercerita tentang kanser serviks, suasana terus menjadi tegang kerana penyakit ini dikaitkan dengan tabiat seksual rambang oleh masyarakat.

Dr Hatta

Namun, Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan (Kanser Ginekologi) dari Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Ahmad Zailani Hatta Mohd Dali menjelaskan sebenarnya itu persepsi yang perlu diperbetulkan oleh masyarakat. 

Katanya, walaupun seseorang itu mempunyai satu pasangan sahaja, mereka masih berisiko untuk mendapat jangkitan Human Papillomavirus (HPV) yang boleh mengakibatkan kanser pangkal rahim.

Apatah lagi apabila sesebuah keluarga mengamalkan poligami atau pernah bercerai dan berkahwin semula. 

Menurut Dr Hatta, masyarakat perlu mengetahui bagaimana jangkitan HPV boleh berlaku. Secara dasarnya, virus tersebut adalah sejenis bendasing yang boleh menjangkiti tidak kira lelaki atau perempuan. 

 

Virus HPV boleh dijangkiti wanita dan lelaki
Lelaki juga boleh jadi pembawa virus HPV.

“Sebenarnya tubuh kita boleh melawan jangkitan HPV secara semula jadi sekiranya kita mempunyai sistem imun yang kuat. Namun, apabila jangkitan ini berlaku berulang-kali, kebarangkalian untuk ia bermutasi menjadi kanser adalah sangat tinggi.

“Saya tidak bersetuju dengan pandangan masyarakat yang sering menuding jari kepada kaum Hawa apabila mereka menghidap kanser pangkal rahim. 

“Ramai menganggap pesakit kanser pangkal rahim mempunyai tabiat seksual seperti terlalu aktif dan kerap bertukar pasangan.

Kadang-kala kita terlupa orang lelaki juga boleh menjadi pembawa virus HPV. Hanya kerana mereka tidak mempunyai rahim seperti wanita, maka mereka tidak menghidap kanser pangkal rahim.

Justeru, Dr Hatta juga mengingatkan kepada masyarakat, sama ada sudah berkahwin atau tidak, asalkan individu tersebut mengadakan hubungan seks, risiko untuk jangkitan HPV adalah tinggi. 

Begitu juga dengan keluarga yang mempunyai lebih daripada satu isteri. Sekiranya salah seorang isteri menghidap penyakit kanser pangkal rahim, kebarangkalian isteri yang lain untuk menghidapnya juga agak tinggi kerana si suami bertindak sebagai pembawa virus tersebut.

“Oleh itu, janganlah kita hanya menuduh orang lain mempunyai hubungan seks rambang apabila mereka menghidap kanser tersebut. Tuduhan itu hanya menunjukkan betapa kurangnya pengetahuan kita tentang kanser pangkal rahim,” tambah Dr. Hatta.

 

Virus HPV ada di mana-mana permukaan sekeliling kita

Dr Hatta juga menerangkan, bagi pasangan yang mengamalkan monogami tanpa mempunyai hubungan seksual dengan orang lain selain suami isteri juga masih boleh dijangkiti HPV kerana sifat virus tersebut yang sebenarnya boleh didapati di sekeliling kita termasuklah pada tangan, pakaian dan permukaan benda di sekeliling kita. 

“Pokoknya adalah apabila virus tersebut terdedah pada pangkal rahim seorang wanita. Sebab itu, ia boleh berkembang menjadi kanser pada masa hadapan. 

Kita perlu faham, kanser pangkal rahim ini adalah sejenis penyakit yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk bermutasi. 

Sebab itu apabila seorang wanita sudah berumah tangga, doktor sakit puan akan menyarankan supaya wanita tersebut membuat ujian pap smear setiap tiga tahun apabila ujian pertama jelas menunjukkan keputusan smear yang normal,” katanya.

 

Keberangkalian lebih tinggi dijangkiti HPV walau guna kondom berbanding HIV 

Tambah Dr. Hatta lagi, kebarangkalian untuk dijangkiti HPV walaupun menggunakan kondom apabila mengadakan hubungan intim adalah lebih tinggi berbanding HIV.

 “HIV tersebar menerusi bendalir dalam badan, HPV pula tersebar menerusi sentuhan. Sebab itu, saya berharap masyarakat dapat memahami konsep ini dan tidak membuat andaian apabila ada wanita yang mereka kenali menghidap kanser pangkal rahim. 

Perbezaan antara dua virus ini adalah, HPV masih boleh dibendung dengan suntikan vaksinasi.

Suntikan vaksinasi HPV lazimnya diberikan sebanyak 3 dos dalam tempoh 6 bulan untuk melengkapkan antibodi wanita melawan virus tersebut. 

 

Vaksinasi HPV Kebangsaan Bantu Kawal Risiko Kanser

Katanya, sebagai rakyat Malaysia kita dianggap bertuah kerana kerajaan menggalakkan suntikan vaksinasi tersebut diberikan kepada pelajar perempuan dari usia persekolahan lagi. 

Ada negara Barat seperti Australia yang mewajibkan vaksinasi HPV kepada kedua-dua pelajar lelaki dan perempuan dalam usaha mengawal risiko kanser yang berpunca daripada HPV. 

Ada juga negara lain yang tidak mempunyai program vaksinasi seperti ini langsung. Sebab itu, kita perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan Malaysia boleh menjadi negara yang sifar kanser pangkal rahim pada masa akan datang 

Selain daripada kanser pangkal rahim, HPV juga boleh menyebabkan kanser lain termasuk kanser alat kelamin dan kanser hidung atau nasopharyngeal yang mencatatkan bilangan tinggi dalam kaum lelaki Cina di Malaysia.

Isz Yusliza

Senior Writer

Be your own kind of beautiful.

No Comments Yet

Comments are closed