Peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara sudah cukup membimbangkan apatah lagi kes kematian yang turut meningkat saban hari.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini hampir kekurangan katil di hospital kendalian mereka ketika ini manakala di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, kapasiti hampir penuh dengan pesakit Covid-19 yang kritikal.

Justeru, vaksin Covid-19 amat penting dalam mengurangkan kadar kematian dan morbiditi pandemik itu, terutama dalam kalangan warga emas dan kumpulan yang berisiko tinggi termasuk ibu hamil.

Dr Premitha

Ketua Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr Premitha Damodaran menggesa supaya ibu hamil mendapatkan vaksin dalam tempoh antara minggu 14 dan minggu 33 kehamilan. 

Ini kerana, sejak akhir-akhir ini terdapat desas-desus dalam kalangan ibu hamil yang terlalu takut untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Walaupun Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Khairy Jamaluddin telah membuat pengumuman tentang vaksin Pfizer sebagai pilihan vaksin yang sesuai untuk golongan ibu hamil dan menyusukan, Dr Premitha masih menerima pelbagai soalan daripada pesakitnya tentang keselamatan vaksin tersebut terhadap kandungan mereka. 

“Apabila seorang wanita hamil, tubuhnya mengalami perubahan drastik untuk disesuaikan dengan kesihatan dan keselamatan bayi dalam kandungannya. Tahap imuniti si ibu menurun dan si ibu mudah terdedah pada pelbagai jenis penyakit.

“Secara umumnya, seorang ibu hamil digalakkan untuk mengambil vaksin influenza dan Tdap untuk melindungi dirinya daripada influenza, kancing gigi, difteria dan batuk kokol (whooping cough).

“Jadi, golongan ibu sudah lama menerima vaksin sepanjang kandungan untuk menjamin kelahiran bayi yang sihat dan terlindung daripada penyakit.

Ibu hamil digesa dapatkan suntikan vaksin Covid-19 elak gejala klinikal lebih teruk

“Buat masa ini, kita perlu memastikan ibu-ibu ini mendapatkan vaksin COVID-19 kerana penyakit tersebut telah terbukti lebih berbahaya berbanding penyakit lain.” katanya.

 

Kategori klinikal ibu hamil positif Covid-19 tambah serius dalam masa singkat 

Dalam kes positif COVID-19 yang melibatkan ibu hamil, kategori klinikal penyakit tersebut boleh bertambah serius dalam masa singkat berbanding individu lain.

Sekiranya mereka yang tidak hamil masih boleh dikuarantinkan di rumah bagi Kategori 1 atau 2, keadaan ibu hamil boleh melarat dengan cepat kerana rahim ibu yang mengembang mengikut tempoh kehamilannya khususnya selepas memasuki bulan ke-4 memberi impak terhadap paru-paru si ibu.

Sebab itu, ibu hamil yang disahkan positif sering kali ditahan di hospital untuk perhatian lanjut sehingga betul-betul sembuh. 

 

Kesan sampingan vaksin Covid-19 tidak mudarat pada ibu dan bayi

Bercerita tentang kesan sampingan vaksin COVID-19 yang merisaukan, Dr Premitha meyakinkan golongan ibu hamil bahawa kesan selepas vaksinasi seperti rasa lenguh, pening kepala, mual dan demam boleh dirawat dan tidak mendatangkan mudarat kepada ibu dan bayi kerana kesan tersebut akan hilang dalam masa terdekat.

Sekiranya perlu, doktor akan memberikan ubat paracetamol untuk ibu hamil menangani kesan sampingan tersebut.

“Jangan keliru kesan ini dengan kesan alahan. Alahan boleh mengakibatkan serangan kejutan (anaphylactic shock) sehingga muka bengkak dan sukar bernafas.

“Kita perlu cuba bertahan dengan rasa kurang selesa selepas divaksinkan kerana dalam tempoh hamil, kesihatan ibu adalah yang paling mustahak. Tanpa ibu yang sihat dan bebas penyakit, bagaimana bayi yang sihat dapat dilahirkan?” katanya.

 

Hospital antara paling selamat, jangan takut dapatkan nasihat kehamilan sepanjang pandemik

Jelas Dr Premitha, terbaharu, kita sudah selesai Fasa Satu Program Imunisasi Kebangsaan yang melibatkan antara 80 hingga 90% kakitangan kesihatan seluruh negara. Kini, hospital adalah antara tempat paling selamat untuk anda.

Oleh itu, jangan takut untuk datang ke hospital dan berbincang dengan doktor anda tentang sebarang isu melibatkan kehamilan dan vaksin Covid-19.

Malah, kakitangan kesihatan yang hamil juga digalakkan untuk mengambil vaksin. Sehingga kini, mereka juga tidak mengalami apa-apa isu berkaitan Covid-19 sepanjang kehamilan mereka.

Golongan ibu perlu mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber sahih dan tidak mudah terpedaya oleh sebaran di media sosial kerana setiap kehamilan adalah unik.

Sebab itu ibu-ibu perlu mendapatkan nasihat daripada doktor tentang menghadapi kehamilan sepanjang tempoh pandemik.

 

Suami perlu mainkan peranan lebih proaktif

Dr Premitha turut menasihatkan golongan suami untuk memainkan peranan lebih proaktif dalam menjaga keselamatan isteri mereka yang sedang hamil.

Suami perlu mengambil langkah berjaga-jaga apabila keluar bekerja, membeli barang keperluan rumah dan melaksanakan tugas lain sebelum kembali ke rumah untuk bertemu keluarga mereka. 

 

Penjagaan selepas kelahiran amat penting, elak pelawat mahu menyentuh bayi

Walaupun kakitangan kesihatan boleh menawarkan suasana yang selamat untuk ibu dan bayi di hospital, cabaran sebenar adalah apabila si ibu dan bayi pulang ke rumah.

 “Kami faham ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan amat teruja untuk menyambut ketibaan ‘orang baharu’ dalam keluarga, tetapi dalam tempoh pandemik ini sebaiknya elakkan kedatangan pelawat yang mahu menyentuh bayi anda.

“Walaupun mereka nampak sihat pada mata kasarnya, sukar untuk kita membezakan individu sihat dengan individu yang tidak menunjukkan sebarang simptom Covid-19,” katanya.

Dengan ribuan kes baharu yang dicatatkan dalam negara setiap hari, Dr Premitha berharap ibu hamil dan menyusukan akan terus mengikut SOP yang digariskan dan memilih untuk divaksinkan. 

Isz Yusliza

Senior Writer

Be your own kind of beautiful.

No Comments Yet

Comments are closed